Selasa, 7 Ogos 2012

4 Ciri Kesihatan Optimum

4 Ciri Kesihatan Optimum
Oleh Dr Abdul Aziz Hj Kechil


Anda berjumpa doktor, menjalani pemeriksaan kesihatan rapi dan didapati sihat. Anda mengelakkan diri daripada kuman selesema selama berbulan-bulan. Namun, ini tidak bererti anda dalam keadaan kesihatan optimum.

Kesihatan optimum bermakna menjalani kehidupan dengan vitaliti yang kuat, bebas gejala yang menyukarkan dan penyakit kronik. Ini harus menjadi matlamat utama setiap orang untuk menikmati kesihatan fizikal, mental, emosi, dan rohani. Pendek kata, kesihatan optimum bermakna mencapai kemungkinan menjadikan diri yang terbaik dan untuk mencapai potensi anda yang sepenuhnya.

Ia adalah keadaan yang memberi kesan kepada kesejahteraan keseluruhan diri dan untuk mencapainya, anda memerlukan suatu strategi seimbang, iaitu empat perkara penting - pemakanan, senaman, rehat dan sikap mental.

Pemakanan

Penampilan kita adalah hasil daripada apa yang kita makan. Disebabkan kegilaan rentak kehidupan moden, kita jarang dapat duduk bersama keluarga dan makan tiga sajian yang dimasak di rumah dalam sehari. Diet sihat menghasilkan tubuh sihat dan pemakanan yang teruk bukan sahaja menyebabkan rasa letih dan tidak bermaya tetapi menjadikan anda berisiko menghidap pelbagai penyakit.

Mengikut American Cancer Society antara 35 hingga 70 peratus barah boleh dikesan mengikut diet. Diet yang sihat dan seimbang mengandungi vitamin, mineral, protein, karbohidrat, lemak, serat dan fitofaktor, adalah penting untuk kesihatan yang baik. Pertimbangkan mengambil suplemen untuk memenuhi semua keperluan pemakanan anda.

Bersenam

Gaya hidup sekarang lebih banyak duduk, jadi kerap bersenam boleh menawarkan faedah kesihatan dan kecergasan tambahan. Bagaimanapun, anda seharusnya tidak memaksa diri mengikuti rutin senaman sukar yang memaksa tubuh anda sehingga melebihi hadnya. Pepatah no pain, no gain sudah tidak boleh digunakan lagi. Apa yang anda perlukan ialah senaman sederhana yang kerap iaitu 3 hingga 5 kali seminggu, yang turut menyenaraikan kegiatan kardiovaskular, latihan ketahanan atau berat badan dan meregang untuk fleksibiliti, bagi mengekalkan jantung kuat, membina otot dan mengurangkan kesan stres.

Rehat

Ramai tidak mengendahkan hal ini dengan kebanyakan orang mendapat minimum antara 7 hingga 9 jam tidur yang diperlukan untuk orang dewasa. Tanpa rehat yang mencukupi, keupayaan pembelajaran seseorang individu dan daya ingatan boleh terjejas kerana faedah tidur utama ialah untuk memulihkan otak serta menyegarkan tubuh. Ketika tidur, mekanisme pembaikan tubuh anda kembali berfungsi, memperbaharui sel daripada kerosakan dan serangan dipertahankan sepanjang hari supaya apabila anda terjaga, anda bagaikan seorang yang baru.

Sikap Mental

Berapa kali anda ditanya dengan soalan ini, Adakah gelas separuh kosong atau separuh penuh? Ini mungkin kelihatan seperti persoalan remeh tetapi ia adalah gambaran seimbas lalu pemikiran anda dan pandangan anda terhadap kehidupan. Kaitan antara fikiran dan tubuh memainkan peranan penting tentang cara tubuh menangani stres. Sikap mental yang sihat membolehkan anda menangani roda kehidupan yang sering berputar. Bersikap mental yang positif boleh membantu melegakan stres dan menangani kekecewaan dalam kehidupan.

Secara ringkasnya, walaupun mungkin tiada formula kukuh untuk mencapai kesihatan optimum, anda boleh memilih tabiat gaya hidup yang memperbaiki kesejahteraan anda dan membawa anda mencapai kesihatan optimum.


Dr Abdul Aziz Hj Kechil ialah pakar fisiologi saraf.
Dipetik dari: Berita Harian Online

Rabu, 1 Ogos 2012

Panduan Kesihatan Di Bulan Ramadhan




Elakkan beberapa masalah yang biasa dihadapi ketika berpuasa di bulan Ramadhan; berpuasa dengan selesa dan nikmati sepenuhnya faedah kerohanian bulan Ramadan. Sepanjang bulan suci Ramadan, diet kita tidak seharusnya berbeza banyak daripada diet normal dan seharusnya seringkas yang mungkin.

Disenaraikan isu atau masalah kesihatan yang biasa dihadapi pada bulan Ramadhan, sebab-sebab dan cara mengatasinya

Sembelit

Sembelit boleh menyebabkan buasir (hemoroid), fisur (rekahan terusan dubur yang menyakitkan) dan gangguan pencernaan (senak) serta rasa kembung.

Punca: Terlalu banyak makanan ditapis, air terlalu sedikit dan tidak cukup serat dalam diet.

Cara Mengatasi: Elakkan makanan bertapis yang berlebihan, tingkatkan pengambilan air, gunakan tepung gandum penuh apabila membuat roti.

Gangguan Pencernaan dan Angin

Punca: Terlalu banyak makan. Terlalu banyak makanan goreng dan berlemak, makanan pedas, dan makanan yang menyebabkan angin seperti telur, kubis dan kacang dal. Minuman berkarbonat seperti Cola juga menghasilkan gas.

Cara Mengatasi: Jangan makan terlalu banyak. Minum jus buah atau lebih baik lagi, air mineral. Hindari makanan yang digoreng, tambahkan jintan manis dalam makanan yang menyebabkan angin.

Keletihan (Tekanan Darah Rendah)

Peluh berlebihan, lemah, letih, kekurangan tenaga, pening kepala, terutama apabila bangun dari duduk, kelihatan pucat dan rasa pitam adalah gejala yang dikaitkan dengan "tekanan darah rendah". Ia biasanya berlaku menjelang petang.

Punca: Pengambilan cecair terlalu sedikit, kurang pengambilan garam.

Cara Mengatasi: Duduk tempat sejuk, tingkatkan pengambilan cecair dan garam.

Perhatian: Tekanan darah rendah perlu disahkan dengan mengambil bacaan tekanan darah apabila gejala kelihatan. Mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi mungkin perlu diselaras semula pengambilan ubat mereka semasa Ramadhan. Mereka seharusnya mendapatkan nasihat doktor.

Sakit Kepala

Punca: Kafein dan pengeluaran tembakau, melakukan terlalu banyak perkara dalam satu hari, kurang tidur, dan kelaparan. Biasanya berlaku di sepanjang hari dan menjadi lebih teruk di penghujung hari. Apabila dikaitkan dengan tekanan darah rendah, sakit kepala boleh menjadi agak teruk dan juga boleh menyebabkan rasa mual sebelum berbuka puasa.

Cara Mengatasi: Kurangkan kafein dan tembakau secara perlahan-lahan, mulakan satu atau dua minggu sebelum Ramadhan. Teh herba dan bebas kafein boleh dijadikan sebagai pengganti. Atur semula jadual anda di bulan Ramadan supaya anda mendapat tidur yang cukup.

Gula Darah Rendah

Rasa lemah, pening, keletihan, penumpuan yang lemah, berpeluh dengan mudah, rasa goyah (menggeletar), tidak dapat melaksanakan aktiviti fizikal, sakit kepala, berdebar-debar adalah gejala gula dalam darah rendah.

Punca (bukan pengidap diabetes): Mengambil terlalu banyak gula iaitu karbohidrat terproses terutamanya waktu sahur. Badan menghasilkan terlalu banyak insulin yang menyebabkan glukosa darah menurun.

Cara Mengatasi: Makan sesuatu pada waktu Sahur dan hadkan makanan dan minuman yang mengandungi gula.

Perhatian: Pesakit kencing manis mungkin perlu menyesuaikan ubat-ubatan mereka pada bulan Ramadhan. Minta nasihat doktor anda.

Kekejangan Otot

Punca: Kekurangan pengambilan makanan yang mengandungi kalsium, magnesium dan kalium.

Cara Mengatasi: Makan makanan yang kaya dengan mineral tersebut seperti sayur-sayuran, buah-buahan, produk tenusu, daging dan kurma.

Perhatian: Mereka yang mengambil ubat tekanan darah tinggi dan yang mempunyai masalah batu karang hendaklah merujuk doktor mereka.

Ulser Peptik, Pedih Ulu Hati, Gastritis dan Hernia Hiatus

Paras asid yang meningkat di dalam perut yang kosong di bulan Ramadhan memburukkan keadaan di atas. Ia membuat rasa terbakar di dalam perut di kawasan di bawah tulang rusuk dan boleh sampai sehingga ke kerongkong. Makanan yang pedas, kopi dan minuman berkarbonat memburukkan lagi keadaan ini.

Ada ubat yang boleh mengawal tahap asid di dalam perut. Mereka yang mendapat ulser peptik dan hernia hiatus seharusnya meminta nasihat doktor mereka sebelum Ramadhan.

Batu Karang

Batu karang boleh berlaku pada orang yang kurang mengambil cecair atau minum. Oleh itu, adalah penting untuk minum cecair tambahan bagi mencegah pembentukan batu.

Sakit Sendi

Punca: Semasa Ramadan, apabila solat tambahan dilakukan, tekanan ke atas sendi lutut bertambah. Di kalangan orang tua dan mereka yang mempunyai artritis, ini boleh menyebabkan kesakitan, kekejangan, bengkak, dan ketidakselesaan.

Cara Mengatasi: Kurangkan berat badan supaya lutut tidak perlu untuk menanggung apa-apa beban tambahan. Lakukan senaman yang melibatkan anggota bawah sebelum Ramadhan supaya ia bersedia untuk terikan tambahan. Mempunyai fizikal yang sihat membolehkan seseorang melaksanakan solat dengan mudah.