
Mencuci tangan merupakan amalan kebersihan yang penting bagi setiap orang. Justeru, bagi menunjukkan kepentingannya terhadap faktor kebersihan, maka pada 15 Oktober setiap tahun telah diadakan sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia.
Hari Mencuci Tangan Sedunia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersempena dengan Tahun Sanitasi Antarabangsa 2008.
Sejak dimulakan pada tahun 2008, Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri. Hari Mencuci Tangan Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.
Mencuci tangan dengan sabun adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit seperti cirit-birit dan pneumonia, yang merupakan punca utama kematian kanak-kanak di dunia.
Walaupun semua orang mencuci tangan dengan air, tetapi tidak semua orang yang mencuci tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas atau sebelum mengendalikan makanan.
Cabaran kempen ini adalah untuk menjadikan mencuci tangan sebagai satu tabiat dalam kehidupan seharian seseorang. Ia perlu diamalkan secara semula jadi di sekolah, rumah dan komuniti.
Mengubah sikap mencuci tangan sebelum makan dan selepas keluar tandas merupakan satu langkah berpadu dan mudah untuk menyelamatkan nyawa.
Usaha meningkatkan kadar mencuci tangan dengan sabun dapat menyumbangkan kepada Sasaran Pembangunan Alaf (Millennium Development Goals, MDGs) pada tahun 2015, iaitu mengurangkan dengan dua per tiga kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
Mengapa mencuci tangan?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), lebih daripada 1.5 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun meninggal dunia akibat penyakit cirit-birit setiap tahun, iaitu punca kedua kematian kanak-kanak ini.
Mencuci tangan selepas keluar tandas, sebelum makan dan mengendalikan makanan – dapat mengurangkan kadar cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak sebanyak 40%.
Pnumonia menyebabkan kematian 1.8 juta kanak-kanak setiap tahun, dan merupakan penyebab utama kematian mereka. Sikap sentiasa mencuci tangan – dapat mengurangkan jangkitan penyakit respitori pada kadar 23%.
Di samping itu, mencuci tangan – satu parameter untuk mengawal jangkitan penyakit berkaitan dengan sistem respitori. Semasa penularan penyakit SARS pada tahun 2006, satu kajian telah dijalankan dan mendapati bahawa mencuci tangan 10 kali sehari dapat mengurangkan penyebaran virus respitori itu sebanyak 55%.
Kajian daripada Nepal menyatakan bahawa penjaga dan ibu mengandung yang mencuci tangan dengan sabun dapat meningkatkan kadar kelahiran bayi baru sebanyak 44%.
Mengguna air sahaja tidak mencukupi untuk tujuan kebersihan diri, tetapi di kebanyakan tempat, sabun tidak digunakan untuk mencuci tangan. Kebanyakan keluarga miskin mempunyai sabun, jadi bukan satu halangan untuk mencuci tangan dengan sabun.
Kajian mendapati bahawa promosi mencuci tangan di sekolah dapat meningkatkan kadar kehadiran murid ke sekolah. Di China, promosi dan pengagihan sabun di sekolah dapat mengurangkan kadar ponteng sekolah sebanyak 54% berbanding dengan sekolah yang tidak mengadakan kempen tersebut.
Hari Mencuci Tangan Sedunia tahun 2010 akan melibatkan semua sekolah dan kanak-kanak. Aktiviti kempen ini diadakan di taman permainan, kelas, pusat komuniti dan tempat awam sama ada di desa ataupun bandar.
Akitiviti mencuci tangan sedunia ini bertujuan untuk menyedarkan penduduk dunia tentang kepentingan mencuci tangan dan kebersihan diri. Berjuta-juta orang daripada 80 buah negara akan terlibat dalam kempen seminggu ini.
Tema Hari Mencuci Tangan Sedunia tahun ini memberi tumpuan pada kanak-kanak. Objektif utama hari yang khusus ini adalah:
- Memupuk dan menyokong budaya mencuci tangan dengan sabun
- Memperkukuhkan budaya mencuci tangan dengan sabun di setiap negara
- Meningkatkan kesedaran tentang kebaikan mencuci tangan dengan sabun
Lima fakta penting dalam mencuci tangan